November 14, 2024

Jamin Sustainability Academy

Sustainable for future

TVET Bukan Pilihan Akhir

2 min read

DAMANSARA 26 JUN 2019. Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan. NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD

Petikan : Berita Harian https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/615588/tvet-bukan-lagi-pilihan-terakhir

KUALA LUMPUR: Bidang kemahiran bukan lagi pilihan terakhir untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sejajar Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).

Menurut kajian pada 2016, sebanyak 59 peratus pelajar di Jerman melanjutkan pengajian dalam program berasaskan kemahiran, Belanda (68 peratus); Australia (62 peratus); Indonesia (51 peratus) dan Thailand (41 peratus).

Di Malaysia, setakat ini hanya 28 peratus pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang itu kerana masih ramai ibu bapa atau penjaga beranggapan, bidang kemahiran hanya untuk pelajar lemah dalam pencapaian akademik dan tidak mempunyai masa depan. 

Kini setiap keluarga sepatutnya melihat bidang kemahiran sebagai pilihan utama, bukan lagi pilihan kedua untuk kerjaya masa depan anak mereka.

Mereka boleh mencontohi bagaimana penerimaan masyarakat bukan saja di negara maju, malah negara jiran yang memilih bidang kemahiran sebagai kerjaya pilihan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan mengakui banyak syarikat yang mengutamakan graduan aliran pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Katanya, sebab itulah jumlah pengangguran, khususnya kalangan graduan sains sosial semakin meningkat kerana peluang pekerjaan lebih banyak dalam aliran teknikal dan vokasional.

Beliau berkata, ini ditambah dengan komitmen kerajaan memajukan prasarana pendidikan TVET dan peruntukan bidang itu juga meningkat dari tahun ke tahun.

“Bidang kemahiran yang selama ini dikaitkan dengan industri 3D yang merujuk kepada kotor, berbahaya dan sukar, kini sudah berubah sejajar perkembangan pesat teknologi.

“Saya percaya IR 4.0 yang akan meningkatkan teknologi robotik dan kecerdasan buatan (AI) akan menjadikan TVET kekal berada di depan dalam industri pekerjaan,” katanya.

PRESIDEN Persatuan Alumni Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Pkhruddin Bian

PRESIDEN Persatuan Alumni Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Pkhruddin Bian

Bagi Presiden Persatuan Alumni Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), Pkhruddin Bian, kolej itu menggunakan pendekatan berasaskan latihan kompetensi dengan menyediakan latihan kepada pelajar dan menempatkan mereka dalam pasaran kerja.

Katanya, ini dengan sendirinya melahirkan lebih ramai pekerja berpengetahuan dan memenuhi permintaan industri, khususnya dalam bidang kemahiran yang kini mendapat permintaan tinggi.

Beliau berkata, antara program ditawarkan ialah teknologi automotif, jurubina bangunan, seni kulinari, pembuatan pastri, teknologi kimpalan, juruteknik elektrik serta penyejukbekuan dan penyaman udara.

“Dulu kolej ini turut menawarkan jurusan kewartawanan dan kami bangga kerana ada graduan bidang itu bertugas di Berita Harian, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM), akhbar tempatan Sabah dan ada juga setiausaha akhbar menteri.

“Untuk menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti pengajian di KTYS, kami menjelajah seluruh Sabah untuk berkongsi pengalaman dan kerjaya menerusi Program Jelajah Pendidikan KTYS,” katanya yang juga graduan Diploma Binaan Bangunan dan kini usahawan dalam bidang itu.

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.
×

Like us on Facebook